Tudung Si Comel

Tudung Si Comel
Ajar anak anda bertudung dari kecil

Sunday 14 July 2019

MENGENAL SEJARAH: EPISODE 2 (NABI ADAM A.S: Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi)


Allah s.w.t.yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya, akan diwariskan kepada manusia berketurunan Adam dengan seraya memerintahkan hambanya yang bersalah yakni Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu . Berfirmanlah Allah kepada mereka:

"Turunlah kamu ke bumi sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan."

Dicampaklah pula mereka secara berasingan, Adam sendirian dan Hawa juga sendirian tanpa teman. Mereka terpisah di Bumi untuk beberapa ketika hingga Allah pertemukan mereka di sebuah bukit bernama Jabal Rahmah atau "Bukit Kasih Sayang".


Disinilah dikatakan tempat pertemuan Adam dan Hawa setelah lama terpisah


Saban hari dan waktu, Adam dan Hawa tidak pernah serik untuk bertaubat dan memohon kempunan kepada Allah atas kesilapannya yang lalu dan Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan. Hal ini telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis ketika di Syurga sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan dan rayuannya yang manis dan beracun itu.

Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan selanjutnya akan menjaga supaya tidak tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar karena perbuatan mereka yang melanggar perintah Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka iaitu akhirnya menjadi khalifah bumi.


Iblis dan sekutunya tidak akan pernah berhenti untuk menyesatkan umat manusia, semoga kita tidak terpedaya dengan segala perangkap mereka!!!
Cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan itulah yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya yang akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya.Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya yang akan memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. 

Di Syurga Adam tidak pernah merasa haus namun di Bumi ia mudah menjadi dahaga dan terpaksa mencari sumber air untuk menghilangkan dahaganya itu. Suatu ketika ia merasa lapar, maka terpaksalah mereka berburu atau mencari dedaunan atau buahan segar untuk mengenyangkan mereka. Pabila hujan mereka perlu mencari tempat berteduh dan bila tiba malam, mereka merasa lelah hingga Adam pun menjadikan gua sebagai teduhannya. Lalu mereka pun tidur disitu dan tinggal didalamnya. Ada sesetengah riwayat mengatakan Adam lah yang membina Masjid Al-Aqsa sebagai tempat beribadah dan bersujud kepada Allah. Kehidupan ini berterusan sehingga Adam dikurniakan keturunan dua pasangan kembar iaitu Habil dan Labuda serta Qabil dan Iqlimah.


Di Bumi amat berbeza dengan syurga, Adam dan Hawa terpaksa berusaha keras demi meneruskan hidup..


Kelahiran mereka sememangnya rahmat bagi Adam dan Hawa kerana selama ini mereka hanya berduaan, kini mereka dikurniakan dua pasang anak kembar lelaki dan wanita yang akan mewarnai kehidupan mereka. Daripada bayi mereka menjadi kanak-kanak, dan menjadi remaja akhirnya menjadi dewasa. Qabil adalah pasangan kembar kepada Iqlimah, perwatakannya agak kasar dan seorang yang gagah perkasa. Dia boleh melakukan apa-apa sahaja pekerjaan yang diberikan namun orangnya sedikit panas baran dan tidak sabar serta terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara. Habil pula merupakan pasangan kembar Labuda, perawakannya amat penyabar dan kuat beribadah serta seorang yang mementingkan persaudaraan. Iqlimah pula merupakan seorang rupawan manakala tidak pula Labuda yang biasa-biasa sahaja rupanya.

Kisah Habil dan Qabil amat terkenal dengan kisah pembunuhan pertama dalam sejarah ketamadunan manusia. Namun, ada beberapa kisah diantara mereka yang boleh memberikan kita kesedaran tentang antara keimanan dan kekufuran.





Tuesday 8 December 2015

MENGENAL SEJARAH: EPISODE ANIMASI #1 (ADAM AS)



Perkongsian video sirah animasi ini amat bagus untuk tontonan umum kerana sumber jalan ceritanya adalah Al-Quran. Sesuai untuk anak-anak anda dan pengetahuan kita sendiri. :) Selamat menonton!!!!
.
.
.
.
.

Jangan lupa nantikan episode-episode mengenal sejarah di group-group whatsapps terpilih!!! Setiap Jumaat Jam 12.30 T/Hari bersama admin yang kreatif :p.. Hehe..



Sunday 18 October 2015

MENGENAL SEJARAH: EPISODE 1 (NABI ADAM A.S: Asal Usul Ketamadunan Manusia)


                    (Bumi, manusia telah diberi penghormatan untuk menjadi khalifahnya)


Sebelum dijadikannya Adam, Telah ada pun sebelum itu Malaikat,Jin dan makhluk lainnya. Jin ialah makhluk yang diciptakan daripada api yang membakar dan sangat panas!!! Ingatlah ketika Allah berfirman didalam Surah Al-Hijr (Ayat 27) yang bermaksud;

"Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas." 

Azazil, dia merupakan seorang hamba Allah dari golongan Jin yang taat beribadah kepada Allah hinggakan dia mendapat gelaran berbeza di setiap permukaan lapisan langit pertama hingga ke tujuh.

  • Pada langit lapisan pertama, ia dijuluki dengan nama Aabid, yakni ahli ibadah yang mengabdikan diri secara luar biasa kepada Allah.
  • Di langit yang kedua pula, Azazil digelar Raki atau ahli rukuk kepada Allah.
  • Langit yang ketiga pula memanggilnya Saajid atau ahli sujud.
  • Pada langit keempat pula, dia diberi gelaran Khaasyi kerana selalu merendah diri dan takluk kepada Allah.
  • Di lapisan langit kelima pula menyebut Azazil sebagai Qaanit kerana ketaatannya kepada Allah.
  • Di langit keenam, Azazil digelar Mujtahid kerana dia bersungguh-sungguh ketika beribadah kepada Allah.
  • Dan di langit ketujuh, ia dipanggil Zaahid, kerana besederhana dalam menggunakan sarana kehidupannya.

Azazil beribadah selama 80 Ribu tahun lamanya sehingga tiada lagi ruang dimuka dunia yang belum pernah disujudkan Azazil lalu diangkatnya dia ke langit Allah sebagai penghormatan untuk menjadi ketua para malaikat.

Ketika itu, suatu peristiwa menggemparkan langit.. Para Malaikat kerisauan... Ini kerana sang malaikat telah melihat suatu yang tertulis di Luh Mahfuz;

"Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80 ribu tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan maka ibadahnya tidak diterima malah dia akan dilaknat hingga Hari Kiamat"

Hal ini merisaukan semua para malaikat, maka Malaikat pun menjemput Azazil yakni ketua mereka untuk mendoakan keselamatan semua malaikat. Lalu datanglah dia mendoakan semua malaikat tapi malangnya Azazil lupa untuk mendoakan tentang dirinya sendiri kerana merasakan amalannya telah cukup dan tidak perlu lagi memohon keselamatan.

Setelah itu, Allah telah memberitahu kepada malaikat bahawa sesungguhnya Dia ingin menjadikan seorang khalifah dimuka bumi seperti yang ada diceritakan didalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah (Ayat 2);

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan dibumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah,? padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

   
(Jubah Adam, Dicipta oleh orang Arab untuk melihat ketinggian Nabi Adam berdasarkan Hadith Nabi Muhammad S.A.W)

Lalu Allah S.W.T seraya memerintahkan kepada malaikat untuk mengambilkan tanah di Bumi untuk penciptaan Bapa manusia itu. Maka, Jibril pun turun ke Bumi untuk mengambil beberapa jenis tanah, Namun apabila ia sampai di Bumi. Bumi pun berkata;

 "Aku bersumpah atas nama Allah bahawa aku tidak akan menyerah bahagianku untuk kamu kerana makhluk yang akan diciptakan akan merosakkan diriku sendiri!!"

Maka, kerana sumpahnya menggunakan Nama Allah, Jibril merasa serba salah dan pulang ke langit dengan tidak membawa tanah dari Bumi. Lalu, Allah mengutuskan pula Mikail dan hal yang sama berlalu, lalu diutuskan pula Israfil dan hal yang sama juga berlaku.. Akhirnya ketika Allah mengutuskan Izrail untuk mengambil tanah-tanah dari Bumi, Bumi mengatakan sumpahnya, Lalu Mikail menjawab;

"Perintah Allah lebih penting dari sumpahmu, sesungguhnya Kamu pasti tidak mahu menderhakai Tuhan-Mu!!?"

Mendengarkan kata-kata itu, Bumi merelakan bahagian-Nya untuk dibawa oleh Malaikat Izrail, maka Izrail pun mengambil tanah dibeberapa tempat seperti yang diperintahkan. Lalu, kerana kesudian Bumi memberikan tanahnya, Allah mengatakan bahawa daripada tanah nya Allah ciptakan maka kepada tanahlah manusia ini akan dikembalikan. 

Setelah itu, Allah menciptakan Adam dengan (Tangan-Nya)** sendiri hinggalah Adam bangkit dari baringannya itu dan Allah memerintah semua makhluk sujud kepada Adam sebagai penghormatan kepada Adam..

Semua makhluk terus bersujud tanpa keraguan, melainkan Azazil dan para pengikutnya yang enggan.. Ketika Allah menanyakan kenapa ia enggan dan sanggup menderhakai Tuhan-Nya kerana tidak mahu sujud kepada Adam, Azazil dengan penuh kesombongan menjawab; 

"Kenapa aku ingin sujud kepadanya sedangkan aku lebih mulia daripanya, Dia (Adam) dijadikan dari tanah yang kotor dan jijik sedangkan aku dijadikan daripada Api yang membakar!!!"

Mendengarkan hal ini, Allah melaknat Azazil dan para pengikutnya, Rupanya yang rupawan menjadi seburuk-buruknya makhluk, lalu diusir daripada Syurga dan ia dilaknat sehingga hari Kiamat!!! Tidaklah timbul walau secebis ketaubatan dan penyesalan. Azazil ditukarkan namanya kepada Iblis kerana kesombongannya. Lalu, berdoalah Iblis dengan penuh angkuh kepada Tuhan-Nya;

"Ya Allah, Engkau boleh melaknatku sehingga hari kiamat, Namun berikanlah aku kehidupan sehingga hari itu (Hari Kiamat), kerana aku ingin menyesatkan anak-anak Adam untuk menemaniku ke neraka!!"

Lalu, Allah memperkenankan doanya itu. Disinilah bermula kedengkian Iblis kepada manusia dan menjadi musuh manusia yang nyata lagi terang-terangan. 

Adam diberikan kehidupan di Syurga, tinggallah ia didalam kedamaian bersama penghuni Syurga, Di Syurga Allah mengajarkan Adam tentang "Nama-Nama Benda". Iaitu Ilmu tentang semua yang ada dilangit dan dibumi serta penyelesaian terhadap perselisihan yang berlaku. Namun, pengetahuannya terbatas oleh akal berfikir manusia. Adam disenagi oleh makhluk Syurga kerana kecerdikannya. Dia mempelajari tentang sesuatu yang diajarkan kepadanya dengan cepat dan pantas.

Masa demi masa berlalu,Waktu demi waktu berputar... Adam mulai rasa kesunyian kerana merasa kesorangan sebagai manusia di Syurga itu. Ketika sedang bermain-main di taman Syurga, Adam tertidur di bawah sebatang pohon di Syurga, lalu ia bermimpi melihat seorang lagi manusia akan tetapi manusia ini berbeza, Ia merupakan seorang wanita yang sungguh cantik lagi rupawan, Didalam mimpi itu ia jatuh cinta kepadanya. 

Allah maha mengetahui hati hamba-hambanya, apabila Adam terjaga dari tidurnya ia terlihat seorang wanita dihadapannya yang sama seperti didalam mimpinya tadi. Namanya Hawa, riwayat mengatakan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk pendek yang ada di sebelah rusuk kiri Adam.. Hiduplah bahagia Adam dan Hawa disyurga. NAMUN!!!! Allah memberi nasihat kepada Adam dan isterinya untuk menjauhi sebuah Pohon yang diberikan Khuldi. Kerana jika mereka termakan buah itu mereka akan tergolong didalam orang-orang yang berbuat aniaya..

Setelah mendengarkan khabar ini, Iblis dan pengikutnya membuat rencana untuk menjadikan Adam dan Hawa orang yang berbuat aniaya. Dan ingin memujuk serta menghasut Adam dan isterinya memakan buah Khuldi itu.


(Buah Khuldi masih menjadi tanda tanya bagaimana bentuknya kerana ia tidak dikhabarkan didalam Al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad S.A.W)

Iblis berusaha keras untuk memujuk Adam mendekati pohon itu, Namun, Adam yang kuat pendiriannya tidak termakan hasutan itu dan tidak pernah tewas pun hasutan tersebut. Setelah gagal mengambil perhatian Adam, Iblis beralih menggoda Hawa untuk mendekati pohon itu degan berharap Adam akan terlibat sama, Awalnya Hawa kuat menahan godaan itu. Namun, lama kelamaan Hawa mulai terbawa-bawa nafsu. ingin sekali ia melihat pohon itu. Maka ia mengajak suaminya Adam untuk melihat rupa pohon itu. Adam berkeras untuk tidak kesana, Namun kerana rsa sayangnya kepada Hawa, suatu masa Adam termakan juga pujukan Hawa serta terlupa akan nasihat Allah agar menjauhi pohon khuldi itu.

Suatu hari, ketika Adam dan Hawa berjalan dibawah pohon itu, mereka pun terlihat sebiji buah yang bersinar. Lalu Hawa ingin memakannya, Hawa memujuk keras Adam untuk turut memakannya, Tanpa mengingati nasihat Allah, mereka berdua memakan buah itu. Ketika mereka sedang memakannya, mereka tidak sedar yang mera telah tergolong dalam orang yang berbuat aniaya.. Ditangkaplah mereka dan dihadapkan ke hadrat Allah. 

Pada Jumaat yang sepi dan sunyi itu, Adam dan Hawa dicampakkan ke bumi secara berasingan. Mereka tidak bertemu buat masa yang agak panjang. Sehinggalah mereka bertemu disebuah bukit yang kini diberi nama Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang) dan mereka pun mencurahkan kerinduan yang terpendam itu. Dari saat itu, Adam tidak henti-henti memohon kemaafan kepada Allah atas kelakuannya bersama isterinya Hawa, Saban hari mereka berdoa agar dimaafkan. Sehinggalah Allah berfirman kepada mereka;

"Tinggallah kamu di Bumi ini sehingga sampai waktu yang ditentukan, Dibumi ini kamu hidup dan dibumi ini pula Kamu Mati, sesungguhnya engkau telah dimaafkan"..

Berbeza dengan Iblis, Adam mengakui kesilapannya dan walaupun telah dimaafkan Adam tetap bersujud kepada Allah yang Esa. 


(Jabal Rahmah, Arab Saudi dikaitkan dengan tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa)

Begitulah asal usul manusia, Adam. Dimulakan dari segumpal tanah hingga diciptakan Hawa dan kedengkian yang tidak pernah putus dari Iblis serta permulaan pendudukan bumi yang merupakan asal usul tamadun kita semua umat manusia. Di bumi pula, mereka tidak selesa seperti berada disyurga, mereka rasa lapar dibumi memaksa mereka mencari makanan dan tidak pula begitu disyurga. Dan begitu juga mereka merasa haus dibumi dan tidaklah pernah merasakan haus ketika disyurga. Lalu, apa yang dipelajari Adam ketika ada disyurga dimanfaatkannya ketika dibumi. 

Di Bumi, sejarah baru akan dicipta, bermulanya pendudukan khalifah bumi. Nantikan episode seterusnya didalam MENGENAL SEJARAH!!!!


**Tangan-Nya:(Zat Allah tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun kerana tiada nas mengenainya, perkataan Tangan-Nya hanya sebagai penyambung Ayat kerana Allah menciptakan Adam dengan sendiri tanpa melalui pihak lain.)


Sumber dan kredit;

1. Al-Quran.
2. Kisah Para Nabi dan Rasul karya Ibn Katsir.
3. akmaliah.com (Kisah Azazil)

Sunday 27 September 2015

MENGENAL SEJARAH: PENGENALAN

Assalamualaikum, Tujuan saya menulis blog ini hanyalah secebis kudrat yang dapat saya kerahkan untuk membangunkan mata Umat Islam tentang sejarah kita. Adalah penting bagi kita mengetahui Sejarah sebenar kita. Adapun artikel didalam blog ini akan diceritakan melalui sumber-sumber sahih, namun jika ada sumber yang lebih baik, tinggalkan lah sumber yang saya perolehi. Sesungguhnya semoga Allah meredhai seculit perjuangan saya ini.
           
Sebagai pengenalan, ingin saya tanyakan kepada anda beberapa soalan dibawah:

1. Siapa tahu apa itu Khilafah????

2. Siapa kenal Khalifah terakhir kita???
Kenalkah anda kepada si dia dibawah ini???

                                                  
                                     (Siapakah beliau ini? dapatkah anda menjawabnya?)

Ya, jika anda seorang yang bijak pasti anda akan mendapatkan jawapan diatas. Maka benarlah, masuk tahun ini (2015) 91 tahun telah empayar Islam ditumbangkan. Tidaklah begitu lama bukan??

Tapi, bukankah kita merasakan bagai kan kerajaan Islam segemilang itu bagai sudah ditelan ratusan ribuan tahun???

Dari itu, sebenarnya sejarah kita telah ditutupi banyak faktor, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan mengetahui sejarah-sejarah kita. yang mana manusia dimulakan dari awal penciptaan iaitu Nabi Adam A.S. Maka, dengan ini, artikel-artikel saya akan bermula daripada sejarah asal usul kita iaitu Nabi Adam A.S.


(Bendera Khilafah Umat Islam)

Saya mengharapkah istiqomah dan sokongan dari semua, semoga tujuan utama blog ini dicipta adalah kerana Allah semata-semata. Amin. Nantikan Episode Pertama MENGENAL SEJARAH!!!!!